Saturday 3 October 2015

RABUN

"Ahmad, mengapa lambat nak siap kerja?"
"Dia tiru saya, teacher.." sampuk Imran yang duduk di sebelah.
"Saya tak nampak, teacher."
Saya diam. Saya tahu Ahmad dan Imran adalah pelajar miskin..lebih-lebih lagi Ahmad yang kerap tidak hadir ke sekolah. Baru bulan lalu mereka antara pelajar yang terima bantuan wang pelajar miskin sebanyak RM500. Tengok pakaian dan peralatan sekolahnya pun dah boleh agak keadaan kewangan keluarganya. Namun, dia rajin dalam kelas saya. Baik dan hormat guru, tak seperti sesetengah pelajar lain yang hadir ke sekolah tanpa matlamat untuk belajar subjek akademik. 

Saya juga dah lama tahu bahawa Ahmad rabun jauh. Kerap juga dia menggosok-gosok matanya selepas beberapa minit menyalin latihan di papan tulis. Memang dia memerlukan sepasang cermin mata.

Saya tanya cikgu lain. Saya selidik dalam google. Aduh, sah belum ada lagi skim bantuan khas untuk membolehkan pelajar miskin mendapatkan cermin mata dengan percuma, atau sekurang-kurangnya dengan bayaran yang kurang membebankan. Yang ada pun hanya untuk pelajar sekolah rendah.
Bayangkan, sekarang sepasang cermin mata paling koman pun berharga RM150. Manalah keluarga miskin seperti Ahmad dan Irwan mampu nak beli. Tambahan pelajar di kelas belakang yang jenis pendiam dan kurang menonjol. 

Saya buat keputusan untuk panggil Ahmad untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci.

Sesi interviu bermula:
"Ayah kerja apa?"
"Dulu kerja di ... tapi sekarang tak dapat gaji dah"
"Mengapa?"
"Dia sakit di kaki.. ayah dah 4 bulan takde gaji."
"4 bulan? Mak pun tak kerja.. jadi camne kamu hidup? Camne datang ke sekolah? Bawa duit makan tak?"
"Jalan kaki.. Mak bagi rm2."
"Dari mana Mak ada duit? Tadi kata mak ayah tak kerja?"
"Mak pinjam duit dari kakaknya."
"Rumah di mana?"
"Rumah di Jalan ... "

"Rumah flat?"
"Tak.. teres.. tapi sewa je."
"Oo..rumah sewa.. "
"Tapi bulan depan nak kena halau dah, teacher.. dah lama tak bayar sewa."
Aduh.. pening dengar kisahnya. Patutlah dia sering tak hadir ke sekolah. Patutlah baju kelab TaeKwonDo berharga rm30 pun dia tak mampu padahal dah berbulan-bulan dia tanya saya harganya. Memang bermasalah. Jika dihalau oleh tuan rumah, ke mana pula mereka sekeluarga nak tinggal.. jadi murid yang tercicir pulak nanti.. Aduh, ni budak kelas belakang yang agak kurang dapat perhatian; biasiswa tak dapat, mungkin sebab prestasi akademik pun lemah atau dia tak dapat/hantar borang yang lengkap.
Dah macam detektif pula saya ni. 


Akhirnya selepas memaklumkan kepada PKHEM dan kaunselor sekolah, saya buat keputusan melakukan lawatan secara persendirian ke rumah Ahmad. Nak ajak guru lain? Hmm.. siapalah yang sudi buat kerja tak dibayar ni, selepas waktu persekolahan? Berisiko pula. Namun saya cekalkan hati.. demi Allah, niat nak bantu. Lama juga saya mencari-cari rumahnya..alhamdulillah jumpa. Rumah sewa 2 tingkat 2 bilik tidur yang sempit dan tiada tempat parkir kereta di depannya.


"Assalamualaikum.. ini rumah nombor 2, Jalan..?" saya memberi salam setibanya saya di depan pintu pagar. Tiada nombor rumah, kelihatan 2 lelaki dewasa di depan pintu rumah.
Keluar seorang wanita bila dipanggil seorang lelaki itu.
"Ini cikgukah?" 
Saya perkenalkan diri. Semasa menanggalkan kasut, saya ternampak bekalan letrik rumah dah tercabut. Namun dalam rumah, lampu masih menyala. Mungkin pinjam bekalan letrik dari jiran sebab dah dimaklumkan kedatangan saya, wallahualam.
Dalam hati berkata, patutlah kadang-kadang Ahmad dan abangnya lewat sampai ke sekolah. Jika tak ada bekalan eletrik di rumah, susahlah mereka nak bersiap untuk ke sekolah hanya dengan berbekalkan cahaya lilin. Namun saya tabik kepada kecekalan mereka, sanggup juga berjalan ke sekolah walaupun tahu lewat dan mungkin dirotan guru disiplin. Saya yakin tentunya hasil didikan ibu bapanya yang masih mementingkan pendidikan anak-anak mereka; baju mereka masih kemas dan bersih.

Benarlah apa yang diceritakan Ahmad. Ibunya mengaku suami dah beberapa bulan tersekat gaji sebab ambil cuti sakit berlebihan. Dia sendiri tidak dapat keluar bekerja sebab tiada siapa nak jaga anak bongsu yang berumur setahun. Anak-anak lain seramai 4 orang pula berjalan kaki ke sekolah. Persiapan raya Aidilfitri pun bergantung kepada ehsan adik-beradiknya. Hampir berderai air mata kasihan melihat keadaan rumah dan dengar luahan hati wanita 30an itu.

Ibu Ahmad juga mengaku anaknya rabun. 
"Dulu ada pihak yang buat pemeriksaan mata percuma. Saya ikut jiran, sebab saya pun rabun. Mula-mula nak bawa Ahmad sekali tapi susahlah cikgu.. tumpang kereta orang."
Dia memberi izin kepada saya untuk membawa Ahmad untuk membuat pemeriksaan mata.

"Cikgu.. ada hari saya beri bekal untuk mereka ke sekolah. Jika ada duit lebih, saya beri kepada mereka sehari RM2. Ada hari tak cukup,mereka tak ke sekolah."
"Sabar puan.." saya hanya mampu mendengar. 
"Cikgu.. janji dengan tuan rumah bulan 8 nak bayar sewa, tak tahulah sama ada bulan 9 ni suami dibayar gaji atau tidak. Susah kami nak pindah.. kena sewa lori pula."

Siapalah saya untuk membantu mereka sekeluarga.. saya pun kerja makan gaji dengan anak-anak yang makin membesar dan orang tua yang uzur. Apa yang saya ada ketika itu, saya hulurkan semasa bersalaman.

Namun saya tak mahu putus asa. Mereka perlu dibantu. Sekurang-kurangnya Ahmad ada cermin mata untuk membolehkan dia melihat papan tulis dan belajar dengan selesa pun dah cukup bagus. Saya tak kenal orang billionaire tapi saya kenal ramai orang yang kaya budi. Dengan bacaan Bismillah, saya kongsikan serba sedikit masalah Ahmad dalam laman Facebook. Saya serah kepada Allah untuk membuka hati sesiapa yang diinginiNya untuk menghulurkan bantuan.

*Bersambung









No comments:

Post a Comment