Saturday 17 October 2015

MATA

Saya bukanlah orang berada. Banyak juga yang perlu diperuntukkan untuk belanja bulanan: keluarga, pendidikan anak-anak, keperluan orang tua di kampung dan keperluan dapur. Nak bantu anak murid dengan sedikit belanja harian memang boleh tapi jika beratus ringgit seorang, berat juga.
Namun saya perlu berikhtiar. Nabi Isa pun pernah berkata, "Seek and you will find, ask and it will be given unto you." Saya mahu berusaha dan mencuba.. manalah tahu Allah ada perancanganNya yang lebih baik untuk Ahmad.
Dengan lafaz Bismillah, saya kongsi kisah Ahmad dalam laman Facebook saya. Bukan bertujuan meminta derma tetapi mahu mencari jalan bagaimana untuk membantu pelajar Muslim sepertinya yang tidak mampu membeli cermin mata sendiri.
Akhirnya tak sampaipun sehari pos itu disiarkan, saya terima komen dan mesej peribadi. Alhamdulillah, ada hamba Allah yang mahu menyumbang. Ada yang menawarkan kedai cermin mata yang boleh member harga istimewa. Setelah berfikir panjang, saya mohon tempoh untuk membawa Ahmad dan rakannya, Imran untuk pemeriksaan mata dahulu, barulah boleh ditentukan jumlah yang diperlukan untuk membuat cermin mata mereka.
Bukannya senang nak jumpa Ahmad. Ada hari-hari tertentu yang dia tidak hadir ke sekolah. Saya minta bantuan Imran untuk memintanya hadir ke sekolah keesokan hari. Selepas solat Jumaat, saya bawa kedua-dua Ahmad dan Imran ke kedai cermin mata.
Pemeriksaan mata kedua-dua mereka mengesahkan mereka memang memerlukan cermin mata untuk melihat dengan jelas. Dengan bantuan pekerja Melayu di kedai itu yang bersungguh-sungguh mencari cermin mata yang sesuai dengan wajah mereka, akhirnya Ahmad dan Imran berpuas hati dengan pilihan masing-masing.
"Mereka anak yatimkah, cikgu?' tanya pekerja di kaunter selepas saya beritahu mereka anak murid saya.
"Tidak, mereka kurang mampu untuk dapatkan cermin mata sendiri.. tapi alhamdulillah ada orang yang mahu bantu bayarkan cermin mata mereka ni," saya jelaskan.
"Bertuahnya ada cikgu yang nak tolong.. dulu kami carilah duit sendiri untuk buat cermin mata," komen staf lain.
"Itupun sebab ada yang nak sponsor," saya senyum saja. 
Hmm.. bincang punya bincang, sepasang cermin mata tetap berharga melebihi RM200++ sebab saya minta cermin yang lebih berkualiti dan waranti setahun. Tambah pula GST. Nak buat macam mana, harga barangan zaman sekarang. Syukurlah ada insan yang sudi menyumbang.
Selepas selesai urusan membuat cermin mata, saya bawa mereka ke restoran. Kasihan, rupa-rupanya belum makan seharian. Licin pinggan mereka.
Dua kali saya bawa mereka keluar untuk urusan cermin mata. Dua kali licin pinggan mereka di kedai makan. Alhamdulillah, akhirnya Ahmad dan Imran dapat belajar dengan lebih selesa apabila memakai cermin mata masing-masing dalam kelas.
Ada guru yang terkejut; mereka tidak sedar rupa-rupanya Ahmad dan Imran rabun.
"Ingatkan mereka lalai semasa menyalin nota," ujar salah seorang cikgu mereka.
Pesanan saya kepada mereka hanya satu - Belajarlah dengan rajin agar lebih maju dalam pelajaran. Hargailah pemberian orang yang menyumbang dengan menjaga cermin mata itu dengan baik, sebab bukan semua pelajar bernasib baik seperti mereka berdua.
Reaksi pelajar lain ? Biasalah.. ada adegan usik-mengusik tapi bila saya layan adil seperti biasa, tak adalah masalah iri hati dan cemburu di kalangan pelajar kelas itu.
Sehingga hari ini, saya diberitahu bahawa bapa Ahmad belum dibayar gaji. Syukur dia masih rajin ke sekolah. Nampak perubahan positif - mereka berdua lebih bersemangat untuk belajar dengan adanya cermin mata.  Minggu hadapan minggu peperiksaan mereka. Saya dah sediakan set alat tulis untuk mereka, yang dibeli dengan baki sumbangan daripada sponsor-sponsor mereka itu. Wang selebihnya saya akan beri sebagai wangsaku pada minggu peperiksaan.
Semoga kedua-dua mereka itu menjadi anak yang soleh dan menyumbang jasa kepada masyarakat dan negara, ameen. 
Terima kasih tidak terhingga kepada hamba-hamba Allah yang telah menyumbang sehingga membolehkan Ahmad dan Imran dapat melihat alam dengan penglihatan yang lebih jelas.. semoga Dia yang Maha Pemurah menambahkan rezeki kepada mereka...ameen.

nota: Gambar Ahmad dan Imran bercermin mata tidak boleh ditunjuk di sini atas dasar melindungi peribadi anak murid. Nama bukan nama sebenar mereka.


No comments:

Post a Comment